Selasa, 13 Ogos 2013

Tokoh-tokoh Utama Gerakan Islah: Riwayat Hidup dan Pemikiran

jamaluddin al-afghani

Sayyid Jamaluddin al-Afghani: Pembangkit Orang Timur


Sayyid Jamaluddin al-Afghani atau nama sebenarnya Sayyid Jamaluddin Bin Safdar al-Afghani merupakan anak seorng pegawai tentera yang dilahirkan di sebuah kampung bernama Asadabad pada tahun 1254 H bersamaan 1838 M. Beliau digelar ‘sayyid’ kerana salasilah keturunan beliau bersambung dengan Saidina Ali Bin Abi Thalib dan Rasulullah SAW. Keturunan beliau juga bersambung dengan Imam at-Tirmidzi, seorang ulama hadis yang terkenal.

Beliau telah memperoleh pendidikan awal di Afghanistan dan juga Iran. Pada usia 18 tahun, beliau sudahpun mahir dalam ilmu Islami, falsafah dan sains. Semasa di India, beliau mempelajari ilmu Barat seperti sains fizikal dan matematik. Berikutnya, beliau telah terlibat dalam satu perang saudara di Afghanistan iaitu menentang Amir Shir Ali yang didukung oleh British Pada 1869 M, beliau terpaksa keluar dari Afghanistan setelah Shir Ali memperoleh kuasa. Namun sejak itulah bermulanya kehidupan al-Afghani sebagai seorang penentang penjajahan Barat.

Setelah meninggalkan Afghanistan, al-Afghani telah mengembara ke serata tempat dalam rangka mencari seorang ketua Negara Islam yang komited terhadap perpaduan umat Islam sejagat bagi menghadapi penjajahan Barat dengan benar-benar berkesan. Untuk tujuan inilah beliau telah mengembara dan menjelajah antara lainnya ke India, Mesir, Iran, Istanbul, Mekah, Madinah, Paris, London, dan St. Petersburg. Namun, impian beliau tidak berhasil disebabkan para pemimpin Islam dewasa itu lebih bersikap kuku besi dan dalam banyak perkara membelakangkan syariat.

Walau bagaimanapun, kesan daripada perjuangannya itu, khususnya berkaitan idea-idea kerajaan berpelembagaan, kemerdekaan daripada penjajahan asing, membina tradisi keilmuwan Islam dengan meminjam sains dan teknologi Barat, telah kelihatan dengan lebih jelas dan meluas di Mesir.Beliau juga merupakan perintis kepada penerbitan akhbar al-Urwat al-Uthqa yang menjadi antara medium utama menyebarkan idea islah beliau. Beliau cuba mengembalikan keyakinan umat Islam tentang keupayaan mereka menentang penjajah. Antara bait-bait dalam pidato jihadnya ialah:


“seandainya jumlah kamu (umat Islam) yang beratus-ratus juta ini ditakdirkan menjadi lalat dan nyamuk sekalipun nescaya kamu akan dapat memekakkan telinga orang Inggeris (penjajah) dengan suara kamu. Seandainya kamu ditaqdirkan menjadi labi-labi atau penyu sekalipun, lalu kamu berenang ke Tanah Inggeris, bilangan kamu yang seramai ini akan dapat mengepung dan menenggelamkan Tanah Inggeris, dan kamu akan pulang dengan kemerdekaan..”


Kempen-kempen yang telah dijalankan oleh al-Afghani dengan begitu bersemangat telah menimbulkan perasaan anti-British yang meluap-luap dalam kalangan rakyat Mesir sehingga menjadi antara penyebab tercetusnya Pemberontakan Urabi pada 1881 M sehingga 1882 M. bukan sahaja di Mesir, malah di serata dunia Islam menerima pengaruh tokoh ini sehingga Rashid Ridha meggelar beliau sebagai “Pembangkit Orang Timur”. Al-Afghani meninggal dunia pada tahun 1897 M. 
Syeikh Muhammad Abduh : Menjejaki Perjuangan Murabbi.

Setelah kematian al-Afghani, Muhammad Abduh, murid al-Afghani yang paling kanan, telah memperkembang idea-idea gurunya tentang dinamisme Islam dan perlunya umat Islam kembali bersatu dalam rangka memulihkan kegemilangan mereka, meskipun Muhammad Abduh mengambil jalan yang berbeza dengan gurunya. Muhammad Abduh cenderung melihat soal pendidikan sebagai kunci kejayaan islah dan bukannya kekuatan politik. Oleh itu, Abduh menumpukan program islahnya melalui reformasi pendidikan.

Muhammad Abduh dilahirkan di Mahallat Nasr, sebuah perkampungan kecil di Mesir pada 1849 M. beliau telah menunjukkan sikap kurang senang beliau terhadap system pendidikan tradisional sejak kecil lagi dan sikapnya ini telah menjejaskan pembelajarannya di Universiti al-Azhar.Abduh juga pernah menerima didikan daripada bapa saudaranya, Syaikh Darwish Khadr yang merupakan sufi Tarekat Shadziliyah. Seterusnya, bermulalah fasa awal modernism dan aktivisme dalam hidup beliau. Beliau mula meluaskan ilmu pegetahuannya di bawah bimbingan Sayyid Jamaluddin al-Afghani. Abduh mempelajari falsafah, teologi, undang-undang dan tasawuf. Beliau menulis pengenalan kepada Risalah al-Waridat fi Sir al-Tajalliyat (berkaitan sufisme) pada 1872 M dan komentar kepada Sharh al-Dawwani li al-Aqaid al-‘Adudiyah pada 1875.

Muhammad 'Abduh


Sebagai lapangan perjuangannya, Abduh telah memilih bidang pendidikan untuk membangunkan kembali umat Islam yang telah lesu akibat dicengkam kejahilan, kezaliman pihak berkuasa dan dibelenggu tahyul, khurafat dan taqlid buta.

Sewaktu al-Afghani diusir dari Mesir pada tahun 1879 M, Abduh dituduh berkomplot bagi menjatuhkan kerajaan dan dibuang daerah ke Kaherah. Pada 1882 M, beliau ditangkap dan dibuang negeri kerana penglibatannya dalam Revolusi Urabi. Beliau bersama-sama gurunya, al-Afghani berada di Paris pada tahun 1884 M dan di sinilah beliau dan gurunya sama-sama mengusahakan penerbitan akhbar al-Urwat al-Uthqa yang gemanya menjangkau hampir ke segenap pelosok dunia.

Mengenai aspek pendidikan yang menjadi fokus beliau, pemikirannya mencakupi antara lain penolakan terhadap taklid dan fanatik mazhab serta terhadap kitab-kitab yang bercorak demikian, reformasi al-Azhar, dan menghidupkan kembali buku-buku berkenaan intelektualism Islam dan sejarah umatnya.Beliau juga menekankan tentang integrasi ilmu di mana beliau menyarankan supaya umat Islam mempelajari ilmu-ilmu Fardu Ain dan Fardu Kifayah termasuk “ilmu-ilmu Barat” seperti sains dan teknologi untuk membina umat yang mempunyai daya fikir yang tinggi. Saranannya diterima dan beberapa perobahan berlaku dalam sukatan mata pelajaran di Universiti al-Azhar.

Menurut Fadhlullah Jamil, pilihan Abduh untuk melakukan reformasi dan islah dalam pendidikan adalah pilihan yang tepat, walau bagaimanapun, perubahan yang diusahakannya itu tetap mengandungi kepincangan kerana sebahagian daripadanya dipinjam daripada kebudayaan Barat tanpa penapisan. Manakala Abul Hassan Ali al-Nadwi pernah mengkritik reformasi yang cuba dilakukan Abduh dalam bidang pendidikan. 
Katanya, “sungguhpun Abduh sangat berjasa dalam usaha membela Islam, memperbaiki system pendidikan dan berusaha mendekatkan generasi baru kepada agama, tetapi dia adalah penganjur kepada modernisasi yang mengajak untuk menerapkan Islam dalam kehidupan abad ke-20 dengan penilaiannya yang tinggi terhadap nilai-nilai Barat, serta cuba menyesuaikannya dengan Islam dan ingin menafsirkan Fiqh Islam dan hokum syarak menurut tafsiran yang ‘sesuai’ dengan tamadun moden, sepertimana perjuanagn Sayid Ahmad Khan di India.”

Berdasarkan tulisan-tulisan beliau, dapat disimpulkan bahawa beliau sememangnya menumpukan program islahnya melalui reformasi ilmu pengetahuan dan terdapat empat aspek penting yang utama dalam reformasi tersebut iaitu: 
(1) penyucian Islam daripada semua amalan dan pengaruh yang mencemarkannya; 
(2) pembaharuan pendidikan tinggi; 
(3) perumusan semula doktrin Islam menurut pemikiran moden; 
(4) melindungi Islam daripada pelbagai pengaruh Eropah dan serangan Kristian.
Muhammad Abduh menghembuskan nafas terakhir beliau di Iskandariyah, Mesir pada tahun 1905 M.

1 ulasan:

  1. syeikh muhammad abduh juga pelopor kaum muda di tanah melayu..

    BalasPadam