Selasa, 13 Ogos 2013

Gerakan Islah di Mesir: Permulaan Episod Perjuangan Kebebasan.


bonaparte
            Dengan jatuhnya Mesir ke tangan Napoleon Bonaparte pada tahun 1798 M, maka bermulalah lembaran baharu dalam episod sejarah Mesir. Beliau mula memperkenalkan Tamadun Barat kepada orang-orang Mesir melalui Institut d’Egypte yang didirikannya bersama 167 orang sarjana Barat pelbagai bidang. Selain itu, konsep-konsep modernisme yang dicetuskan oleh Revolusi Perancis seperti sistem republik, nasionalisme, konsep kesamarataan (equality), dan sebagainya mula menapak di Mesir. 
Muhammad Ali Pasya
Setelah pengunduran Perancis pada 1801 M, Muhammad Ali yang menjadi Gabenor di Mesir pada tahun 1805 M memarakkan lagi pengaruh Tamadun Barat di Mesir. Beliau menubuhkan Kementerian Pendidikan, sekolah dan maktab tentera, teknik dan perubatan yang guru-gurunya didatangkan dari Eropah. Malah, beliau juga mengirim pelajar ke England, Perancis, Itali dan Austria. Dengan ini maka berkembanglah pengaruh tamadun Barat di Mesir, samada oleh orang-orang Barat mahupun oleh anak-anak tempatan seperti Rifaah Badawi Rafi’ al-Tahtawi.

            Dalam belenggu penjajahan Barat baik secara fizikal dan mental, terdapat tiga keadaan yang melatari suasana politik Mesir ketika itu. Pertama ialah kemunduran umat Islam disebabkan faktor-faktor dalaman dan akibat daripadanya muncullah gerakan islah. Kedua, penjajahan kuasa-kuasa Barat ke atas dunia Islam yang mengakibatkan berkembangnya semangat permusuhan dan sikap anti-Barat dalam kalangan umat Islam. Ketiga, keunggulan Barat dalam bidang ilmu pengetahuan, sains, teknologi dan organisasi.

Berhadapan gelombang ghazw al-fikr atau peperangan pemikiran Barat yang telah menguasai hampir segenap aspek kehidupan umat seperti politik, ekonomi, dan kebudayaan bukan tugasan mudah. Gerakan Islah menerima tamparan hebat apatah lagi arus sekularisasi bawaan Barat membadai dunia Islam dengan ganasnya. Seruan islah oleh tokoh-tokoh pemikir Islam seperti Sayyid Jamaluddin al-Afghani (1838-1897) dan Muhammad Abduh (1849-1905) telah melahirkan suatu organisasi atau gerakan perjuangan yang dikenali sebagai gerakan islah. Ia berkembang secara menyeluruh bukan sahaja di Mesir bahkan seluruh dunia terutama pada awal abad ke-20, dan jejak langkah mereka dituruti dengan kelahiran gerakan dakwah seperti al-Ikhwan al-Muslimun (1928) yang sifatnya lebih terorganisasi dan tersusun.

            Gerakan Islah bawaan al-Afghani dan Abduh mempunyai ciri-ciri tersendiri walaupun
pada takat tertentu, pemikiran dan praktis kedua-dua tokoh ini dilihat berbeza antara satu sama lain.
Antara ciri-ciri utama gerakan islah yang dibawa gerakan al-Afghani-Abduh di Mesir ialah: 
(1) bercita-cita dan berusaha untuk mengembalikan kecemerlangan umat Islam sebagaimana zaman Khulafa al-Rasyidin
(2) berhasrat membina perpaduan tanpa mengira bangsa dan budaya melalui gagasan beliau iaitu al-Jamiah Al-Islamiah (pan-Islamism) 
(3) mengkritik taklid Al-A’ma yang bermaksud mengikut sesuatu secara membabi buta tanpa berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah;
(4) Menyeru umat Islam agar kembali kepada ajaran Islam yang tulen serta sesuai dilaksanakan sepanjang masa dan tempat;
(5) Menyedarkan umat Islam tentang keburukan fanatik kepada sesuatu mazhab yang membawa kepada pepecahan umat Islam sendiri; 
(6) saranan bahawa umat Islam wajib menumpukan perhatian kepada usaha-usaha memerdekakan tanah air dan pemikiran mereka dari penjajah;
(7) menyarankan umat Islam membebaskan aqal daripada cengkaman pengaruh-pengaruh tradisi dan khayal supaya akhirnya dapat meningkat kea rah kemajuan dan kesempurnaan; 
(8) mengajak umat Islam mempelajari ilmu-ilmu Fardu Ain dan Fardu Kifayah termasuk “ilmu-ilmu Barat” seperti sains dan teknologi untuk membina umat yang mempunyai daya fikir yang tinggi dan seterusnya mampu keluar daripada belenggu penjajahan;
(9) menganjurkan semangat ijtihad kerana bagi mereka, pendapat para ulama silam sekalipun ada kesahihannya, perlu dinilai semula;
(10) mengagungkan peranan akal.

            Kesemua idea dan program islah al-Afghani-Abduh dilaksanakan melalui beberapa metod dan kaedah. Antaranya: 

(1) melalui proses pengajaran dan pidato, sebagai contoh, al-Afghani pernah bertugas di Universiti al-Azhar Mesir. Di situ, kuliyah beliau mendapat sambutan dan  muridnya yang paling setia ialah Muhammad Abduh sendiri. Muhammad Abduh juga menyampaikan idea islahnya melalui proses pengajarannya di Masjid al-Husaini, Darul 'Ulum, dan Universiti al-Azhar;
(2) melalui media massa seperti majalah al-Urwah al-Wuthqa yang diasaskan al-Afghani, akhbar al-Waqa'i'a al-Misriyyah dan al-Manar yang diterbitkan oleh Muhammad Abduh di Mesir;
(3) melalui karya-karya ilmiah, sebagai contoh, karya Muhammad Abduh seperti Risalah at-Tawhid, Tafsir Juz' 'Amma, at-Tahrir fi Islah al-Mahakim as-Syar'iyyah, al-Islam Wa ar-Raddu 'ala Muntaqidih, dan al-Islam wa an-Nasraniyyah ma'a al-'ilmi wa al-Madaniyyah, dan karya al-Afghani seperti al-A'mal al-Kamilah, ar-Raddu 'ala ad-Dahriyyin,Tutimmah al-Bayaan fi Tarikh Afghan, al-Khatirat,dan at-Tukayyufat 'ala Syarh ad-Dawani lil-Uqatir al-'Adhuidiya;
(4) melalui jawatan-jawatan yang disandang, sebagai contoh al-Afghani pernah menjadi ahli Majlis al-Mu’arif di Istanbul dan Muhammad Abduh pernah menyandang jawatan tertentu dalam kerajaan seperti Hakim Mahkamah Rayuan Mesir, ahli Majlis Pengurusan Universiti al-Azhar Mesir dan Mufti Kerajaan Mesir.

sumber:  PEMINGGIR KOTA









Tiada ulasan:

Catat Ulasan