Negara Sekular: episod lembaran sejarah Turki

Ataturk disanjung semasa hayatnya dan dikenang selepas kematiannya,
sebagai Bapa Turki moden dan pengasas fahaman sekularisme kepada negara
Turki baharu yang lahir selepas kejatuhan empayar Islam Uthmaniyyah.
Beliau adalah presiden, perdana menteri, dan speaker parlimen pertama
Turki moden. Untuk menjadi moden, Ataturk percaya, Turki perlu mengikut
Barat sama ada dalam politik mahupun budaya. Apa yang Ataturk percaya
itulah yang perlu dijadikan panduan bagi negara Turki dan rakyatnya.
Pemakaian Barat dipromosikan secara habis-habisan. Rakyat Turki
digalakkan untuk berpakaian mengikut fesyen Barat yang nampak lebih
moden. Ataturk merasakan pemakaian tudung sebagai simbol kemunduran.
Sesuatu yang agak menjelikkan, pemakaian tudung diharamkan di semua
bangunan milik kerajaan termasuk di universiti. Pada bulan Mei 1999,
seorang ahli parlimen wanita dilarang mengangkat sumpah sebagai ahli
parlimen kerana memakai tudung. Kakitangan wanita yang bekerja dengan
kerajaan tidak dibenarkan memakai tudung. Negara sekular dan bukan Islam
seperti Amerika Syarikat sendiri tidak mengharamkan pemakaian tudung.
Semua pengganti Ataturk berpegang kuat kepada sekularisme. Sebarang
campur tangan agama dalam hal ehwal kerajaan ditentang. Penubuhan parti
politik yang mewakili agama diharamkan. Setakat ini, sudah dua parti
politik diharamkan iaitu Parti Refah pada tahun 1998 dan Parti Fazilet
pada tahun 2001. Kedua-dua parti ini dikatakan cuba melenyapkan
sekularisme di Turki dengan aktiviti parti yang cenderung kepada Islam.
Parti pemerintah sekarang, Parti Adalet ve Kalkınma, dipantau kerana
dilihat cenderung ke arah menerapkan nilai Islam secara perlahan-lahan
kepada rakyat Turki.
Turki menjejak Era Reformasi
![]() |
Recep Tayyip Erdogan |
Ramai tidak tahu, di sebalik wajah Turki sebagai sebuah negara
sekular, kerajaan yang memerintah sekarang adalah sebuah kerajaan yang
giat mempromosikan nilai Islam dan secara perlahan-lahan menghakis
sekularisme di Turki. Kerajaan Turki yang dibentuk oleh Parti Adalet ve
Kalkınma (AKP), dipimpin oleh Recep Tayyip Erdogan, yang kini menjadi
Perdana Menteri Turki. Kebanyakan pemimpin di dalam AKP adalah aktivis
Islam dan bekas ahli parti politik Islam yang diharamkan sebelum ini.
Perdana Menteri, Erdogan yang aktif dalam aktiviti menyuburkan nilai
Islam di Turki pernah dipenjarakan kerana bacaan puisi yang disifatkan
sebagai membakar semangat orang ramai untuk kembali kepada Islam dan
mengabaikan sekularisme.
Turki sebelumnya pernah mempunyai perdana menteri yang sama seperti
Erdogan. Perdana Menteri Necmettin Erbakan adalah seorang aktivis Islam
dan Perdana Menteri Turki yang pertama yang menolak fahaman sekularisme.
Kerana tindak-tanduknya yang banyak berlawanan dengan sekularisme,
beliau menerima tekanan daripada tentera untuk meletak jawatan. Lebih
parah lagi beliau kemudian diharamkan daripada menyertai politik.
Erbakan hanya sempat menjadi perdana menteri selama setahun.
Adakah Erdogan akan menerima nasib seperti Erbakan? Erdogan bernasib
lebih baik daripada Erbakan. Walaupun sudah menjadi pengetahuan umum
bahawa Erdogan adalah seorang yang kuat menyokong perjuangan Islam dan
penentang sekularisme, genap 14 Mac 2011, Erdogan sudah 8 tahun menjadi
Perdana Menteri. Sungguh menakjubkan. Erdogan berjaya mempertahankan
kedudukannya di samping meneruskan perjuangan menyuburkan nilai Islam di
Turki secara agresif tetapi teratur. Perjalanan Erdogan bukan mudah.
Parti pimpinannya, AKP hampir sahaja diharamkan pada tahun 2008 kerana
aktiviti Islam mereka. AKP diberi amaran keras dan dikenakan penalti
dengan dana awam disekat kepada separuh. AKP dan Erdogan membuka
lembaran baharu untuk Turki.
Presiden Turki, Abdullah Gul yang juga merupakan barisan
pimpinan AKP
menjadi Presiden Turki yang pertama daripada kalangan Islamis, bukan
daripada kalangan golongan sekular sejak Ataturk. Kedua-dua isteri
kepada Presiden Gul dan Perdana Menteri Erdogan memakai tudung, sesuatu
yang sangat jelik untuk diterima golongan sekular. Pencalonan Gul
sebagai presiden ditentang golongan sekular termasuk tentera. Majlis
angkat sumpah Gul sebagai Presiden Turki memang penuh kontroversi.
Barisan tertinggi tentera yang sepatutnya menghadiri majlis angkat
sumpah presiden, tidak menghadiri majlis tersebut sebagai tanda protes.
![]() |
ABDULLAH GUL |
Tentera cemeti rakyat Turki

Perdana Menteri Erdogan sendiri pernah menjadi mangsa dihumbankan ke
dalam penjara dan dihalang untuk berpolitik untuk beberapa tahun. Pada 9
Februari 2008, parlimen yang dikuasai AKP telah meluluskan pindaan
perlembagaan untuk tidak lagi menyekat pemakaian tudung di universiti.
Pindaan perlembagaan ini menjadi sangat kontroversi dan dibawa ke
mahkamah perlembagaan. Seperti dijangka, mahkamah perlembagaan
memutuskan pindaan perlembagaan yang diluluskan parlimen adalah tidak
sah dan bertentangan dengan prinsip sekularisme yang dipertahankan.
Turki adalah bangsa yang mempunyai lebih separuh penduduk yang taat
kepada ajaran Islam. Namun Ataturk dan sekularisme yang dibawa telah
memusnahkan rakyat Turki. Sekularisme masih hidup walaupun ada yang
menentangnya kerana pihak tentera, mahkamah perlembagaan, parti politik,
golongan elit dan ahli akademik yang sekular masih mempertahankannya.
Di dalam tentera, jelik untuk kita mendengar bahawa anggota tentera yang
didapati bersembahyang dan mempunyai isteri yang memakai tudung akan
dikenakan tindakan disiplin. Ini terkandung di dalam Laporan Suruhanjaya
AS ke atas Kebebasan Beragama 2008. Sudah menjadi kebiasaan anggota
tentera terutamanya barisan tertinggi tentera makan secara terbuka pada
siang hari ketika bulan Ramadhan. Yang lebih teruk adalah ada antara
mereka yang minum arak tanpa rasa malu dan bersalah pada bulan puasa.
Ataturk sendiri seorang peminum minuman keras yang tegar.
Badai dan Cahaya Bahtera AKP, Gerakan Islam Turki
Ketegangan antara puak sekular dan Islam semakin memuncak sejak AKP
mengambil alih pentadbiran kerajaan. AKP telah banyak menaikkan
kemarahan puak sekular. Ketika memegang kuasa dalam kerajaan, AKP telah
dibawa ke mahkamah perlembagaan untuk mengharamkan AKP. Majalah The
Economist telah menyatakan kerajaan Turki di bawah pimpinan AKP
merupakan pentadbiran kerajaan Turki yang terbaik dalam beberapa dekad
ini. Hiperinflasi yang melanda Turki selama tiga dekad telah berjaya
dikurangkan secara agresif sejak AKP mengambil alih pentadbiran. AKP
juga dilihat sebagai pentadbiran kerajaan yang paling bersih berbanding
kerajaan Turki sebelumnya yang banyak terlibat dengan rasuah.
Apabila pejabat pendakwa raya mengheret AKP ke mahkamah perlembagaan,
isu ini telah mendapat perhatian Kesatuan Eropah (EU). Mahkamah
perlembagaan merasakan
tekanan yang besar yang akan diterima jika
mahkamah mengharamkan AKP yang mendapat mandat besar daripada rakyat.
Turki adalah negara yang memohon untuk menyertai EU. Antara perkara yang
diberi perhatian EU adalah demokrasi dan kebebasan berpolitik. Situasi
sekarang adalah berbeza dan tidak sama dengan apa yang berlaku beberapa
dekad dahulu. EU sendiri secara jelas tidak mahu AKP diharamkan dan akan
menggantung sebarang perbincangan lanjut tentang keanggotaan Turki ke
dalam EU jika AKP diharamkan.
![]() |
KESATUAN EROPAH (EU) |
Ketegangan antara pihak sekular dan AKP semakin menjadi-jadi.
Tangkapan demi tangkapan yang dilakukan polis terhadap sebilangan
golongan sekular atas tuduhan ingin menumbangkan kerajaan pimpinan AKP
melalui jalan keganasan. Dalam bukti yang dibawa ke mahkamah,
beribu-ribu kertas dokumen, senjata yang dirampas yang mempunyai kesan
cap jari, perbualan telefon yang dirakam, dokumen bertandatangan
menunjukkan plot yang dirancang untuk menggulingkan kerajaan. Golongan
ini dilabel sebagai ‘ergenokon’. Mereka terdiri daripada bekas pimpinan
tertinggi tentera, sebilangan kecil pimpinan tentera yang masih
berkhidmat, bekas ahli Majlis Keselamatan Negara, bekas ketua polis,
ahli akademik, pemimpin mafia dan wartawan. Ada yang telah dibicarakan
dan ada perbicaraan yang masih berjalan.

Tangkapan demi tangkapan dilakukan dari tahun ke tahun.
Ini sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Turki. Ini pertama kali berlaku kerana di satu pihak, AKP sebagai kerajaan yang memerintah memperjuangkan Islam secara halus dan masih mempunyai sokongan rakyat yang kuat. Pihak tentera pula yang menyokong sekularisme pula merasakan bahayanya AKP dibiarkan berkuasa. Sesuatu perlu dilakukan secara rahsia dan terancang. Namun semua ini tidak memihak kepada tentera kerana kerajaan dapat menghidu plot yang dirancang dan dengan segera memintas.
Pihak penyokong sekular menuduh kerajaan AKP menyalahgunakan kuasa
untuk melenyapkan semua penentangnya. Tangkapan dibuat kononnya
bermotifkan politik. Di pihak kerajaan pula, perkara serius sebegini
perlu ditangani dengan serius kerana tidak mahu melihat Turki sekali
lagi terjebak ke lembah kekacauan dan kerajaan digulingkan melalui cara
yang tidak demokratik. Turki sudah menyaksikan beberapa kali kerajaan
yang dipilih rakyat digulingkan oleh pihak tentera.
Erdogan dan AKP setakat ini berjaya melalui segala liku memimpin
kerajaan Turki. Beliau dan AKP berdepan dengan pilihan raya Jun pada
tahun ini. Pendapat umum menunjukkan AKP akan menang sekali lagi dengan
majoriti yang besar. Mandat yang besar daripada rakyat memang diperlukan
AKP yang dilihat berusaha untuk membuat reformasi pada perlembagaan
Turki dan membawa tentera ke era baru. Apakah Erdogan akan berjaya
dengan misinya atau pihak tentera sudah bersiap sedia merancang dengan
teliti suatu lagi usaha rampasan kuasa secara halus? Apa pun rakyat
Turki akan menjadi saksi apa yang terjadi. EU turut memerhatikan
perkembangan Turki. Sama-sama kita lihat.
sumber : http://dwnmasyarakat.dbp.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan