Rabu, 27 Mac 2013

21/3/2013 : Syahidnya Dr Said Ramadhan Al-Buti di Masjid Iman,Damsyik

TAHNIAH

Kebiasaannya apabila kita mendengar khabar tentang kematian seseorang, lafaz yang sering menjadi balasan ialah TAKZIAH, iaitu lafaz untuk minta ahli keluarga arwah bersabar dengan kematian.
Tetapi apabila mendengar berita kematian seseorang yang syahid, selayaknya TAHNIAH kerana seorang lagi umat nabi Muhammad SAW berjaya melangkah ke syurga ALLAH..

 firman Allah,

مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُم مَّن قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلاً
Di antara orang-orang mu'min itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merobah (janjinya),
 (al ahzab:23)

 21/3/2013- ULAMA PERGI MENINGGALKAN ILMU

DAMSYIK: Serangan pengebom nekad di dalam Masjid Eman yang terletak di tengah-tengah ibu kota Syria awal pagi tadi (waktu Malaysia) meragut 42 nyawa termasuk ulama terkenal Sunni negara itu, Sheikh Mohammad Said Ramadan al-Buti yang difahamkan cenderung kepada rejim pemerintah. 

Serangan yang dilakukan pada sebelah petang itu menyaksikan pengebom nekad meletupkan dirinya sendiri ketika Mohamed al-Bouti sedang mengadakan ceramah agama untuk pelajarnya. 

"Jumlah kematian susulan serangan pengganas ini meningkat kepada 42 di mana 84 mangsa lain mengalami kecederaan.

Kematian Mohamed al-Buti disifatkan satu tamparan hebat kepada Presiden Bashar al-Assad, di mana beliau sedang berusaha menamatkan ancaman pemberontak di negara itu.

Datangnya Ulama' membawa Rahmat. Tanggal 21/03/2013 perginya seorang Ulama' terkemuka dunia dibawa bersama ilmunya. Dia dikurniakan Syahid tatkala di usia senja. Datangnya dinanti penduduk bumi, perginya ditunggu-tunggu penduduk langit.


Terlalu besar jasanya pada ummah ini. Dia adalah seorang Ulama' yang 'alim Rabbani. Semoga Allah merahmati dan mengampuni Al-Fadhil Syekh Dr Ramadhan Al-Buti al-Syahid, seorang Ulama' dari Syria.


Marilah sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah dan berdoa agar kita juga dikurniakan Syahid sepertimana pejuang-pejuang Islam yang ikhlas berjuang di jalan Allah. Al-Fatihah...

MASJID Eman musnah berikutan serangan pengebom nekad yang meletupkan diri di dalamnya ketika umat Islam sedang menunaikan solat pada sebelah petang di daerah Mazraa, Damsyik, Syria. Kejadian itu mengakibatkan lebih 42 mangsa terbunuh termasuk ulama terkenal di kalangan warga Syria, Sheikh Mohammad Said Ramadan al-Buti, 84 tahun.

SYAHID RINDU BERTEMU KEKASIHNYA 

 Kata Al-Habib Ali-Al-Jufri "Aku telah menelefonnya dua minggu lepas dan beliau (Dr Ramadhan Al-Buti) berkata pada akhir kalamnya: "Tidak tinggal lagi umur bagi aku melainkan beberapa hari yang boleh dikira. Sesungguhnya aku sedang mencium bau syurga dari belakangnya. Jangan lupa wahai saudaraku untuk mendoakan aku."

Pada beberapa hari sebelum kewafatannya, beliau berkata "Setiap apa yang berlaku padaku atau yang menuduhku daripada ijtihadku, maka aku harap ia tidak terlepas dari ganjaran ijtihad" (yang betul mendapat dua ganjaran dan yang tidak mendapat satu ganjaran)

*Sheikh Ramadhan Al-Buti Syahid setelah dibom beberapa jam lepas di dalam Masjid Iman di Dimasyq. Beliau akhir-akhir ini mendoakan kehancuran kepada rejim Syiah Nusairiah, dan sedang dikawal ketat oleh pihak tentera. Dalam usahanya untuk keluar dari Syria beliau bersama pengikutnya dibom dan mendapat ganjaran Syahid.

Moga Allah merahmati dan memberi ganjaran yang sebanyak-banyaknya kepada Guruku dan Mujtahid Ummah Dr. Muhammad Said Ramadhan Al-Buti. Hidupnya sebagai ulama, matinya sebagai syuhada.


PAS: ''KEHILANGAN BESAR UMAT ISLAM'' 

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan pemergian tokoh ulama terkenal Syria, al-Syeikh al-Allamah Dr. Said Ramadhan al-Buti sebagai kehilangan besar buat umat Islam seluruh dunia.

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kematian ulamak itu tentunya dirasai oleh ummah yang dahagakan ilmu dari insan sepertinya.

"Kitabnya dan muridnya berjumlah jutaan di seluruh dunia. Lebih setengah abad usianya dimanfaatkan kepada ilmu dalam mencerahkan ummah di seluruh dunia.

"Pemergian beliau adalah satu kehilangan mutiara ummah. Bagi pihak PAS, saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan seluruh ummat Islam diatas pemergiannya," katanya kepada Harakahdaily.

Difahamkan Dr. Said Ramadhan al-Buti terbunuh dalam satu serangan bom ketika beliau sedang menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Iman, Damsyik, Syria semalam.

Dalam pada itu, Tuan Guru Abdul Hadi turut menyatakan pendirian PAS mengecam sekeras-kerasnya pihak yang terlibat dalam serangan terhadap ulamak itu semalam.

"PAS mengecam pembunuhan yang berlaku. Ia merupakan satu tragedi yang sukar dilupakan seumpama pembunuhan Assyahid Sheikh Ahmad Yasin pada tarikh yang sama tahun 2004 yang lalu.

"Semoga seluruh ahli keluarga beliau dan ummat Islam seluruh dunia bersabar diatas kematian ini. Semoga Allah SWT menempatkan beliau bersama dengan orang-orang yang soleh yang berjuang bagi menegakkan agamanya," katanya.

Selasa, 12 Mac 2013

10 Gangguan Syaitan Ketika Solat


10 Gangguan syaitan ketika solat




Semoga ia beroleh manfaat dan sentiasa mempertingkatkan mutu ibadah kepada Allah Taala.


Antara gangguan itu adalah:




1) Berasa was-was ketika melakukan takbiratul ihram 

Saat membaca takbiratul ihram, ‘Allahu Akbar’, seseorang akan berasa ragu-ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sah atau belum sah.

Sehingga dia mengulanginya sekali lagi dengan membaca takbir. Perasaan itu akan berterusan kadang-kadang sampai imam hampir rukuk.

Ibnu Qayyim berkata, “Termasuk tipu daya syaitan yang banyak mengganggu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwuduk) dan niat atau saat takbiratul ihram dalam solat”. Was-was itu membuat mereka terseksa.


2) Tidak memberi tumpuan ketika membaca bacaan dalam solat. 

Sahabat Rasulullah, Uthman bin Abil ‘Ash datang kepada Rasulullah dan mengadu, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah.” Rasulullah menjawab, “Itulah syaitan yang disebut dengan khinzib.

“Apabila kamu merasakan kehadirannya, ludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah. Aku pun melakukan hal itu dan Allah SWT gangguan itu dariku” (Hadis Riwayat Muslim).


3) Lupa jumlah rakaat yang dikerjakan 

Abu Hurairah r.a berkata, “Sesungguhnya Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jika seorang daripada kalian solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggoda sampai mereka tidak tahu berapa rakaat yang dikerjakan. Apabila seorang daripada kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).


4) Hadirnya fikiran yang memalingkan tumpuan 

Abu Hurairah berkata, “Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan. Apabila muazin selesai azan, ia kembali lagi dan jika iqamat dikumandangkan dia berlari. Apabila selesai iqamat, dia kembali lagi. Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya,’Ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat!’ Sehingga orang itu tidak tahu berapa rakaat ia solat.” (Hadis Riwayat Bukhari).


5) Tergesa-gesa menyelesaikan solat 

Ibnu Qayyim berkata: “Sesungguhnya tergesa-gesa itu datang daripada syaitan, kerana tergesa-gesa adalah sifat gelabah yang menghalangi seseorang untuk berhati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Tidak ada ketenangan atau thuma’ninah. Pada zaman Rasulullah ada orang solat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasulullah memerintahkannya untuk mengulanginya kerana solat yang ia kerjakan belum sah.

Rasulullah bersabda kepadanya, “Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah daripada al-Quran yang mudah bagimu, lalu rukuklah sampai kamu benar-benar rukuk (thuma’ninah), lalu bangkitlah daripada rukuk sampai kamu tegak berdiri.Kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud (thuma’ninah) dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).


6) Melakukan gerakan yang tidak perlu 

Dahulu ada seorang sahabat yang bermain kerikil ketika sedang tasyahud. Ia membolak-balikkannya. Melihat hal itu, Ibnu Umar segera menegurnya selepas solat.

“Jangan bermain kerikil ketika solat kerana perbuatan itu berasal daripada syaitan. Tapi kerjakan seperti apa yang dikerjakan Rasulullah”. Orang itu bertanya, “Apa yang dilakukannya? “Kemudian Ibnu Umar meletakkan tangan kanannya di atas paha kanannya dengan jari telunjuk menunjuk ke arah kiblat atau tempat sujud. “Demikianlah saya melihat apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w,” kata Ibnu Umar (Hadis Riwayat Tirmidzi).


7) Melihat ke kiri atau ke kanan ketika solat 

Sedar atau tidak, jika seseorang itu melihat ke kiri atau ke kanan, itu akibat godaan syaitan yang menggoda. Kerana itu, selepas takbiratul ihram, pusatkan pandangan pada satu titik iaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dan dicuri syaitan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Aisyah beliau berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah hukum melihat ketika solat”. Rasulullah menjawab, “Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba.” (Hadis Riwayat Bukhari).


8) Menguap dan mengantuk 
  
Rasulullah bersabda bermaksud: “Menguap ketika solat itu daripada syaitan. Kerana itu, apabila kamu ingin menguap, tahanlah.” (Hadis Riwayat Thabrani).

Dalam riwayat lain Rasulullah bersabda, “Ada pun menguap itu datangnya daripada syaitan, hendaklah seseorang mencegahnya (menahannya) selagi boleh. Apabila ia berkata ‘ha…’ bererti syaitan tertawa dalam mulutnya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).


9) Bersin berulang kali ketika solat 

Syaitan ingin mengganggu kekhusyukan solat dengan bersin sebagaimana yang dikatakan Abdullah bin Mas’ud, “Menguap dan bersin dalam solat itu daripada syaitan.” (Riwayat Thabrani).

Ibnu Mas’ud berkata, “Bersin yang tidak disenangi Allah adalah yang terjadi dalam solat sedangkan bersin di luar solat itu tetap disenangi Allah. Hal itu tidak lain kerana syaitan memang ingin mengganggu solat seseorang dengan pelbagai cara.”


-sekadar hiasan-





10) Terasa ingin buang angin atau buang air 

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang daripada kalian bimbang apa yang dirasakan di perutnya apakah keluar sesuatu daripadanya atau tidak, janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya” (Hadis Riwayat Muslim).

Berbahagialah orang Muslim yang selama ini terbebas daripada pelbagai macam gangguan syaitan dalam solat mereka. Semoga kita semua dibebaskan Allah daripada gangguan berkenaan.

Bagi yang berasakan gangguan itu, sebahagian atau keseluruhannya, janganlah putus asa untuk berjihad melawan syaitan terkutuk