Isnin, 20 Januari 2014

DAKWAH, TARBIYYAH DAN SIASAH

PAS-Dakwah,Tarbiyyah dan Siasah
oleh : Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi


Masih ada mereka yang tidak memahami , bagaimana PAS berjuang sehingga masih kedengaran suara yang mengatakan perjuangan PAS salah , bida’ah , sesat , tidak mengikut sunnah , bercanggah dengan syariat , hanya mementingkan politik dan 1001 tohmahan dilemparkan kepada PAS .

Terlebih dahulu saya akui bahawa PAS tidak sunyi dari kelemahan dan kesilapan sebagai sebuah organisasi yang dipimpin oleh manusia. Namun kesilapan dan kelemahan itu tidaklah membawa PAS terbabas ke ‘gaung dalam’ yang membunuh aqidah dan mencederakan syakhsiyyah sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan Islam .

Sebaliknya kelemahan dan kesilapan yang berlaku , bukan sahaja masih boleh diperbaiki dan disempurnakan tetapi nyata PAS mempunyai cara dan kaedah yang cukup baik untuk terus memantau perjalanan organisasinya agar menepati objektif dan ghayahnya ( matlamat ).

Organisasi PAS juga mempunyai pelbagai medium untuk memastikan segala misi dan visi perjuangannya berjalan berasaskan syara’ .

Kepimpinan Ulama’ , Jawatan Kuasa Disiplin Parti , Muktamar Tahunan , Mesyuarat Dewan Harian , Mesyuarat Bulanan , Mesyuarat Khas , Liqa’ Fikri , Tamrin , Mukhayyam , Kuliah Haraki , Usrah Mingguan , Konvensyen PAS Negeri , Ijtimak Pilihanraya , Kuliah Agama dan banyak lagi cara dan kaedah untuk PAS mengawal organisasinya berjalan melandasi syariat Ilahi dan sunnah an Nabawi .

Jika terdapat perbedaan dalam approach atau method perjuangan PAS berbanding kumpulan Islam yang lain , ini tidak bermakna PAS salah dan bercanggah dengan syariat dan sunnah. Secara umumnya , wajar saya tegaskan bahawa PAS bergerak dalam ruang orientasi yang saya pecahkan secara kasar kepada

3 ruang orientasi utama iaitu :

Tarbiyyah dan Pengkaderan ( pembinaan dan pembentukan )
Dakwah ( penerangan )
Siasah ( politik )

1.Tarbiyyah dan Pengkaderan . 

Aset penting yang meletakkan PAS terus istiqamah dan komited dengan perjuangan ialah agenda tarbiyyah dan pengkaderan yang menjadi nadi kepada pergerakkan PAS .

  • Tarbiyyah digerak dan diaktifkan untuk membina :


Aqidah yang benar berasaskan manhaj Ahlis sunnah wal Jamaah
Fikrah yang syumul sebagaimana syumulnya ajaran Islam itu sendiri
Syakhsiyyah yang solehah berasaskan akhlak mahmudah bimbingan Rasulullah saw.


  • Sementara pengkaderan pula berfungsi untuk membina :


Kepimpinan yang berkarisma dan berwibawa .
Organisasi yang mantap dan hebat.
Tindakan yang strategic dan berkesan .

Memastikan perkara ini berlaku dalam PAS , Lajnah Tarbiyyah dibentuk pada semua peringkat organisasi PAS , bermula dari peringkat Pusat , Negeri , Kawasan bahkan cawangan. Begitu juga di peringkat dewan – dewan seperti Dewan Ulama’ ,

Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat turut meletakkan Lajnah Tarbiyyah antara Lajnah kanan yang diberi tumpuan utama. Aktiviti asas bagi melaksanakan cita – cita tarbiyyah banyak tertumpu kepada pembentukkan usrah dipelbagai peringkat ( kepimpinan atau ahli ) , tamrin , liqa fikri dan pelbagai program atau aktiviti semasa yang dilihat perlu dari masa ke semasa dengan berbagai wajah yang menghormati kepentingan kepelbagaian approach .

Kini PAS melalui Dewan Pemudanya pula menubuhkan Akademi Kepimpinan Pemuda yang akan berfungsi bersama pelbagai modulnya untuk mengkaderkan kepimpinan pelapis yang berwibawa menepati karisma seorang pemimpin Islam yang soleh.

2.Dakwah (penerangan )

Dakwah Ilallah ( Penerangan ) Berlandaskan perintah Allah yang mewajibkan setiap individu muslim menyampai dan menyebarkan Islam , dakwah telah menjadi aktiviti asas yang sangat principal sifatnya. [2] Biarpun PAS menghadapi aneka halangan dan ancaman dari pelbagai pihak termasuk polis/FRU yang sering digunakan oleh musuh – musuh Islam yang menghalang kemaraan dakwah  Islam ke tengah masyarakat , dakwah untuk menginsafkan ummah agar kembali kepangkuan Islam serta berjuang mendaulatkannya tetap diteruskan . Ada dikalangan pemimpin PAS yang dibunuh , dipenjara , dibuang daerah dan dikenakan pelbagai tindakan kerana dakwah mereka .

Namun segalanya tidak menghalang PAS dari terus melaksanakan amanah besar ini sebagai sebuah Gerakan Islam yang pastinya bertanggungjawab terhadap masa depan ummah.Tugas dakwah ini digalas oleh semua , dari Presiden hinggalah ahli biasa dengan peranan masing – masing berasaskan keupayaan atau kemahiran mereka malah turut menghormati tahap keupayaan masing -  masing. Maudhu’ ( kandungan ) dakwah PAS sangat jelas [3] , menepati apa yang diajar oleh Allah swt.

PAS mendekati semua lapisan masyarakat . Bermula dengan masyarakat yang tertindas hinggalah  pemimpin yang menindas dan ummat yang lesu hinggalah ulama’ yang bisu . Pelbagai pendekatan diketengahkan dalam membawa mesej perjuangan. Dewan Pemuda PAS membawa pendekatan Pemuda sebagai Duta Kasih Sayang dan Penyelamat .

Pendekatan dakwah PAS melengkapi 2 kategori utama :

1        : Dakwah Ammah ( umum ) Kuliah Agama , Forum , SeminarCeramah Umum , Muzakarah , DebatMotivasi , DemonstrasiPenerbitan Buku , Penerbitan akhbar , Edaran VCD , Edaran Risalah ,Talk Show , Dialog dll

2        : Dakwah Fardiyyah .  ( khas ) Pertemuan TertutupZiarah dan DakwahAktiviti Amal Kebajikan Dakwah PAS tidak bermusim dan tidak juga tertakluk kepada kepentingan pengaruh individu dan politik .

Biarpun sehari selepas tamatnya pilihanraya , PAS telah memulakan aktiviti dakwahnya kepada masyarakat , demikian juga sehari selepas dibebaskan dari penjara pimpinan PAS terus melangsungkan dakwahnya. Sekalipun dakwah yang dibawa oleh PAS tidak popular malah menerima tentangan sengit dari pelbagai pihak seperti hukuman hudud , PAS tetap menunaikan tanggungjawab dakwahnya dengan memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai peri pentingnya Negara kita melaksanakan undang – undang dan peraturan Islam itu.

Biarlah kita kehilangan undi popular dan sokongan ramai yang membawa kita kalah dalam pilihanraya , namun dakwah untuk membawa Islam kesetiap pintu hati manusia tetap diteruskan.

3.Siasah ( politik ) 

Islam adalah agama yang syumul , merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuklah politik. Mengasingkan politik dari perjuangan Islam ertinya mengurangkan sukatan perjuangan Islam yang telah diperjuangkan oleh Nabi saw. [4]

PAS meletakkan politik sebahagian dari tanggungjawab perjuangan yang mesti diperjuangkan. Kini kuasa politik berada ditangan UMNO dan BN yang enggan melaksanakan syariat meskipun berbuih mulut mereka mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam . Malah UMNO dan BN telah  menyuburkan bumi Malaysia ini dengan pelbagai maksiat dan mungkar yang telah dihalalkan melalui mazhab Islam Hadharinya.

PAS berkewajipan mengambil tampuk kuasa politik dari golongan yang enggan melaksanakan syariat Islam dan PAS telah berijtihad untuk menggunakan pendekatan aman dan damai tanpa peperangan dan pertumpahan darah , dalam usaha PAS mahu mengambil alih kuasa politik tersebut. Realiti ini membawa PAS mendaftarkan organisasinya di bawah Pendaftar Pertubuhan dan ianya sah untuk bergerak di sisi undang – undang Negara waktu ini. Semua orang boleh mengakui bahawa Islam tidak boleh dilaksana tanpa kuasa politik. Justeru itu , penglibatan dibidang politik ( siasah ) adalah kewajipan besar untuk kembali mengangkat Islam ini ke tempat yang selayaknya sebagai agama suci .

KESIMPULAN

Saya tidak nampak alasan yang munasabah bagi pihak yang menolak perjuangan PAS. Mereka barangkali boleh untuk tidak menyertai PAS , tetapi untuk mereka menolak dan menafikan perjuangan PAS adalah suatu yang sangat tidak adil. Kelemahan dan kesilapan boleh diperbaiki jika ada. Menolak dan menafikan perjuangan sucinya yang diasaskan sejak tahun 51 yang lalu memerlukan alasan yang konkrit dan dalil yang pasti , bukan beralaskan emosi dan sentiment perbedaan kumpulan.

Saya selalu menegaskan kepada umum , jika terdapat suatu yang dilakukan oleh PAS bercanggah dengan syariat dan sunnah , sila nyatakan ! Jika ianya berbentuk dakwaan , sila kemukan bukti ! Kita mencari kebenaran . Andai benar atau ada , PAS melakukan perkara yang bercanggah dengan syariat , saya dan seluruh ahli PAS yang ikhlas terhadap perjuangan pasti akan menyanggahinya. Namun begitu , janganlah tuduhan melulu tanpa lampiran bukti , dakwaan palsu tanpa kepastian dalil dan emosi berprasangka tanpa berlaku adil.
........................................................................................................................................................
NOTA KAKI:

[1] Fasal 5 . Perlembagaan PAS : Tujuan PAS ialah :                                                      
1 : Memperjuangkan wujudnya di dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai – nilai hidup Islam dan hokum – hukumnya menuju keredhaan Allah .                                       2 : Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan Negara .

[2] ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير و يأمرون بالمعروف و ينهون عن المنكر و أولئك هم المفلحون

” dan hendaklah ada dikalangan kamu ummat yang berdakwah kearah kebaikan , menegakkan syariat dan mencegah kemungkaran dan mereka  adalah golongan yang beroleh kemenangan.” Surah ali – imraan : 104

[3] Fasal 6 . Perlembagaan PAS : Usaha – usaha : 1 . Menyeru ummat Manusia kepada syariatAllah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan , tulisan dan amalan . 2 . Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai – nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan disegenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran , ekonomi dan social serta pelajaran dan pendidikan .  

[4] فما لا أصل له فمهدوم و ما لا حارس له فضائع الدين أصل و السلطان جارس ” Agama adalah tapak dan pemerintah
( kedaulatan )  adalah pengawal , suatu yang tiada tapak pasti runtuh dan suatu yang tiada pengawal pasti hilang .” – al Imam Ghazali dalam Ihya’ Ulumiddin


SUMBER : KHAZANAH NASIONAL

SUNTIKAN FIKRAH DAKWAH

SUNTIKAN FIKRAH DAKWAH

Firman Allah SWT:

وَإِنْ أَحَدٌ مِّنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّى يَسْمَعَ كَلاَمَ اللّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لاَّ يَعْلَمُونَ

Maksudnya:
Dan jika seseorang dari kaum musyrikin meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat-tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam)
 (At-Taubah:6)

Selepas daripada Allah mewajibkan golongan musyrikin diperangi, setelah mereka diberi keamanan selama empat bulan, selepas mereka membatalkan perjanjian dengan Rasulullah SAW dan golongan muslimin, Allah menjelaskan pula bahawa tuntutan agar mereka menerima Islam, kemudian apabila mereka menolak, mereka wajib pula diperangi, tidaklah bermakna bahawa mereka selepas itu tidak ada ruang lagi untuk mendengar ayat-ayat Allah yang memungkinkan mereka beriman pula selepas itu. Seandainya ada di kalangan golongan musyrikin yang datang mahu mendengar penjelasan tentang Islam, kedatangan mereka itu tidak wajar diabaikan dan tidak diambil peduli. Membunuh mereka pada ketika itu adalah haram, bahkan Allah memerintahkan setelah mereka selesai mendengar penjelasan , mereka hendaklah dijamin keselamatan sehingga mereka hendaklah dipulangkan ke tempat asal mereka dengan selamat.

DAKWAH ISLAM KE ARAH KESEJAHTERAAN

Islam adalah agama ke arah kesejahteraan sejagat. Betapa Islam amat memberi perhatian kepada kejahteraan dapat dilihat dengan jelas daripada ayat yang dibetangkan ini. Bahkan maksud daripada kewududan agama ini adalah untuk menyebarluaskan agama yang berpaksikan kesejahteraan yang hakiki ini. Islam adalah kebenaran. Justeru itu, kebenaran sifatnya ialah ia mesti dijelaskan melalui mediumnya. Atau dalam erti kata yang lain, dakwah Islam hendaklah disampaikan kepada siapa saja, sekalipun musuh yang selalu memerangi kita. Bila mereka mahu mendengar penjelasan tentang Islam dan perjuangannya, kita wajib untuk menjelaskan dan memperkatakan tentangnya.

Arahan terhadap kewajipan berjihad bukanlah bertujuan untuk menumpahkan darah, tetapi yang pentingnya ialah agar keimanan dapat menjalar dan mengalir ke dalam jiwa manusia, dan kekufuran dapat dinyahkan daripada sanubari mereka. Kalau peperangan adalah jalannya, maka itu adalah pilihan terbaik untuk mencapai matlamat yang mulia itu. Tetapi seandainya terbentang di hadapan mata, kebenaran Islam dapat disampaikan di dalam suasana aman, itulah yang menjadi pilihan yang paling utama, sesuai dengan Islam perjuanganya adalah untuk kesejahteraan hakiki dan abadi, dari dunia sehingga ke akhirat nanti.
.
APA TITIK TOLAK DAKWAH?
.
Dakwah seharusnya bermula sepertimana jalan dakwah nabi-nabi a.s yang terdahulu Mereka menyeru manusia kepada ‘subulussalam’ (jalan kebahagiaan), menunjukkan manusia kepada jalan yang lurus (sirat-al-Mustaqim), sehingga manusia menerima seruan Allah dan Rasul-Nya. Dakwah Islamiyah berawal dari hati yang sadar bahwa inilah jalan kita, iaitu untuk menyeru manusia kepada Allah sehingga mereka mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW.
.
Yang menjadi pemisah antara dakwah Islamiyah dengan jalan lain adalah petunjuk Allah yang disampaikan melalui wahyu dan jalan (contoh) yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Musuh kita yang sebenarnya adalah syaithan dan kuncu-kuncunya yang menjelma melalui al-hawa' (hawa nafsu) yang ada di dalam diri kita serta yang lebih nyata lagi adalah dalam bentuk jahiliyah yang zahir. Jahiliyah yang sekecil-kecilnya dari dosa-dosa yang berupa keengkaran hingga kepada al-kabair (dosa-dosa besar), bid'ah-bid'ah yang menyesatkan, nifaq (kemunafikan), serta kekufuran kepada Allah. Jahiliyah inilah yang seterusnya lahir dan menjelma di dalam bentuk keengkaran kepada Allah baik di dalam bentuk undang-undang, negara, masyarakat, dan segala bentuk sistem yang bukan berasaskan Islam.
.
Dakwah bukanlah semata-mata penentangan terhadap satu golongan, atau parti, ataupun individu. Namun merupakan pertarungan yang telah lama ada, iaitu semenjak penciptaan Adam a.s. dan keengganan Iblis untuk mematuhi perintah Allah agar sujud kepada Adam. Pertarungan di dalam dakwah adalah pertarungan antara yang haq dengan yang bathil. Inilah pertarungan para Anbiya a.s. semenjak nabi Adam hingga Rasulullah saw. Inilah dia hakikat dakwah yang perlu kita dukung.
.
KEFAHAMAN TERHADAP DAKWAH ISLAMIYYAH
.
1- Siapa penggerak dakwah Dakwah dimulai dari lahirnya sekelompok orang yang sedar dan insaf, serta yakin akan tugas mereka, disamping iman yang tebal kepada Allah SWT. Dakwah Rasulullah SAW dibantu oleh para sahabat yang memiliki jiwa pengorbanan yang tinggi berjuang jalan Allah. Di dalam makna ini, Imam Al-Banna menjelaskan :
.
“Pembentukan suatu ummah, pendidikan suatu bangsa, pencapaian cita-cita, dan pendukungan prinsip memerlukan kekuatan jiwa yang besar dari ummah atau bangsa yang ingin mencapai cita-citanya itu. Kekuatan jiwa yang terjelma dalam kemahuan yang kuat dan tidak mengenal lemah; kesetiaan yang padu, tidak mudah terpengaruh, dan tidak kenal uzur; memiliki pengorbanan yang tinggi; mengenal serta mengimani dan memandang tinggi terhadap prinsip perjuangan sehingga seseorang dapat memelihara diri dari penyelewengan atau terpedaya oleh prinsip-prinsip lain”.
.
Inilah dia sifat pribadi mereka yang mampu mendukung dakwah ini. Inilah dia titik awal kerja dalam dakwah, yaitu melalui proses pembinaan peribadi pendakwah yang jitu. Sebagaimana permulaan dakwah Rasulullah SAW dengan membina peribadi para da'i seperti yang tergambar dalam surat Al-Muzzamil di mana Allah memerintahkan mereka dengan latihan ibadah Qiyamullail (shalat Tahajjud) sebagai persiapan menghadapi ujian dakwah yang penuh dengan berbagai ujian di hari-hari depannya.
.
2. Sumber kekuatan. Dimanakah sumber kekuatan dakwah? Sebenarnya, kekuatan bermula dari kekuatan iman, kemudian diikuti oleh kekuatan ukhuwah Islamiyah, kemudian barulah diikuti dengan kekuatan material dan organisasi.
.
Kebanyakan orang menyangka bahwa timur kekurangan kekuatan material, peralatan perang, dan perjuangan untuk mereka bangun menyaingi ummat yang telah merampas hak dan menindas mereka. Anggapan ini ada benarnya, namun di sana ada lagi sesuatu yang lebih penting yaitu kekuatan ruh yang terjelma dalam akhlak yang tinggi, jiwa yang harmoni, mengetahui dan meyakini kebenaran, dan pengorbanan demi menunaikan kewajipan.
.
Kekuatan iman dan ukhuwah itu kemudiannya berganjak kepada kekuatan ilmu, syaksiah, tubuh badan, dan kesatuan. Inilah yang menjadi kekuatan tonggak dan asasi. Setelah ini barulah diikuti dengan kekuatan organisasi, media, ekonomi, dan ketenteraan. Adalah anggapan yang keliru bahwa dakwah harus dimulai dengan kekuatan material (kebendaan); karena asas kekuatan awal adalah pribadi du'at itu sendiri, kemudian barulah diikuti dengan kekuatan yang lain. Hakikat ini telah terbukti di dalam sejarah dakwah itu sendiri.
.
3. Wasilah-wasilah (jalan-jalan kerja) dakwah. Wasilah di dalam pembinaan dan pengukuhan setiap dakwah dapat dikenali oleh siapa saja yang mengkaji sejarah jamaah. Intisari dari wasilah ini dapat disimpulkan sebagai berikut : Iman dan amal, kasih sayang, dan persaudaraan. Wasilah umum dakwah ini tidaklah berubah, yaitu berkisar dalam tiga hal berikut: iman yang mendalam, pembinaan (takwin) yang teliti, dan amal yang bereterusan.
.
Ringkasnya, jalan kerja dakwah dapat disimpulkan sebagai berikut: keimanan yang kuat, persaudaraan yang kukuh, pembinaan (tarbiyah) atau pembentukan yang teliti dan halus, amalan yang tiada putusnya, yang tidak mengenal lelah ataupun putus asa, disertai dengan panduan manhaj yang bersumberkan sumber-sumber yang sahih, serta kepemimpinan yang mempunyai daya juang dan kemampuan yang tinggi dan dapat dipercayai.
.
4. Beransur-ansur (tadarruj) di dalam langkah kerja Maksud tadarruj adalah kita tidak tergesa-gesa dalam bekerja mencapai matlamat. Segala amal harus disusun dan direncanakan mengikuti tingkatan-tingkatan atau tahap-tahap yang ditentukan. Misalnya; pembinaan (takwin) itu bermula setelah kita melaksanakan tugas penjelasan kepada masyarakat umum. Kemudian diikuti dengan upaya pengasasan setelah kita melasanakan usaha mendidik.
.
Sesungguhnya kekuatan dakwah itu adalah bertahap: pertama, penyampaian risalah; kemudian diikuti dengan usaha pembinaan dan pembentukan saf-saf perjuangan Islam; dan akhirnya mengasaskan kerja-kerja Islam. Sesungguhnya setiap dakwah perlu memiliki tiga marhalah : Marhalah di'ayah (menyeru) dan ta'arif (memperkenalkan), dan menyebarkan fikrah serta menyampaikannya kepada masyarakat umum. Kemudian diikuti oleh ‘marhalah takwin’ (membentuk) dan memperbaiki ansar (penggerak dakwah), menyediakan anggota saf dari mereka yang menyambut seruan tersebut. Kemudian diikuti oleh marhalah pelaksanaan, amal, dan kerja yang membuahkan hasil.
.
5. Kesempurnaan di dalam pelaksanaan (Takamul fi tatbiq) Dakwah Islamiyah bukan sekadar parti politik, namun penegakan hukum Allah adalah tugas kita yang paling utama. Dalam waktu yang sama, dakwah bukan pula satu mazhab fiqh, kuliah syarahan, atau institusi fatwa, namun ia lebih mementingkan syari'ah. Demikian pula, dakwah bukan sebuah organisasi sosial, tetapi kita lebih mementingkan persoalan menjaga kebajikan masyarakat.
.
Ringkasnya, dakwah Islamiah bukan hanya sebagian dari dakwah-dakwah itu, namun meliputi keseluruhan makna tersebut. Inilah maksud kesempurnaan dalam perlaksanaan. Tumpuan dakwah bukanlah hanya sebahagian permasalahan ummah sahaja, melainkan harus mementingkan semua permasalahan ummah dalam kerja-kerja dakwah.

DAKWAH DAN MUZAKARAH

Muzakarah merupakan salah satu medium dakwah dan kaedah menyampaikan penjelasan yang berkesan untuk menyampaikan mesej dakwah kepada manusia. Muzakarah memberi pengertian adanya adab-adab perbincangan yang dikehendaki dalam ajaran Islam yang perlu dipatuhi. Perbincangan yang berlangsung dijuruskan ke arah meningkatkan pemikiran dalam mencari kebenaran; bukannya sekadar satu saluran 'discussive reasons', yakni menunjuk kebolehan memberi alasan atau berasional dalam pengertian yang sempit. Di dalam skop harakah Iskamiyah, melalui medium muzakarah beberapa keuntungan dakwah akan dapat diperolehi;
.
a- menjadi wadah mengumpulkan para cendekiawan dan mereka berminat dan itizam dalam kerja-kerja Islam.

b- menyediakan saluran membincang idea dan/atau isu- isu masakini dan masa hadapan yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat dan ummah.

c- menyalurkan idea dan rumusan muzakarah kepada saluran-saluran yang betul untuk tindakan selanjutnya.

d- meneruskan kesinambungan amalan bermuzakarah para ulamak silam dan memajukan pengembangan kelimuan.

Dari masa ke semasa medium muzakarah akan mengenalpasti isu-isu yang dianggap mutakhir yang dapat menjaga kepentingan Islam dan masyarakat Islam masakini. Dalam perbincangan yang dijalankan, pandangan secara bersepadu akan dipakai sebagai pendekatan.

Medium muzakarah ini merupakan satu lagi tanda komitmen petugas harakah di dalam menunjuk arah dan petunjuk yang betul kepada usaha membentuk masyarakat Islam yang cemerlang. Bukan sahaja usaha-usaha bersifat lahiriah akan terus digerakkan, secara sedar kita amat komited akan membangunkan unsur pemikiran dan kerohanian masyarakat.

PENUTUP

Dakwah Islamiyah sepanjang zaman akan berhadapan dengan cabaran getir dan memeritkan. Namun, akhirnya kebenaranlah yang akan menjuarai semua bentuk pertarungan di semua medan pertarungan dan perjuangan itu. Allahu Akbar!

sumber : Blog Tarbiah Harakiah

Jumaat, 17 Januari 2014

JURNAL DAKWAH: XPDC STREET DAKWAH.

JURNAL DAKWAH: XPDC STREET DAKWAH.



Laporan Jurnal
bersama sahabat, izuha dan khairuzzaman

Jam 12.00mlm dalam keriuhan sambutan tahun baru 2014.

Brkesempatan bersama dppnt menyantuni anak muda se agama se bangsa yg brkumpul di taman shah bandar, taman warisan dan 
dataran pantai batu buruk..
suasana malam tahun baru di Dataran Pantai Batu Buruk

Menghayun kaki melangkah maju sebaris dengan pimpinan pemuda pas, membawa semangat dakwah, suntikan misi 'rahmat untuk semua' dan seruan 'infiru'..
Kami tidak mahu menggulingkn kerajaan ! hanyalah mengedar risalah GANTI dan kalendar 2014, tanda ingatan dari kami..

Sentuhan mahabbah dr kami disambut baik oleh muda mudi yg majoritinya, free hair dan tight pant. Alhamdulillah.
Moga2 usaha tidak seberapa ini mengetuk hati kecil anak muda untuk menyokong perjuangan islam ini. InsyaAllah, takbir !
Barisan Pimpinan DPPNT
Ustaz Hishamuddin, Ustaz Kamaruzzaman,Ustaz Hilmi Harun

Isnin, 4 November 2013

Tidak Ada Milik Kita, Semua Allah yang Punya..


Bayangkan: andaikata anda punya harta yang disayangi, mahal, tinggi nilainya. contoh, sebuah motorsikal model baru kawasaki ninja. ada seorang yang ingin meminjamnya daripada anda. ok baik ! anda bagi pinjam.


tapi hairan, orang itu pandu motor dengan megahnya, pabila ditanya perihal motor itu.. dengan mendabik dada,,
'' ni motor baru aku, body ori dari jepun ni, jangan sentuh la wei !"
bahkan, dia pakai seolah-olah dia yang punya, bukan main susah nak pulangkan.

apa perasaan kita? apa kata kita?
marah, menyesal, kecewa.
''tak sedar diri betol "

Hakikatnya : sedarkah kita? semua barang berharga yang kita akui, kita sayangi hari ini adalah pinjaman semata.
namun, sering kita merasa bangga, megah,hebat dengannya..
kecantikan, kebijaksanaan,pandai berkata-kata, handphone mahal, pakaian mahal..
bahkan banyak ibadah,banyak sedekah..kadang2,kita bangga.

apa kata mereka yang ghaib terhadap kita ketika itu,
malaikat, haiwan2 melata..mencemuh kita..
maluu..maluu..

sedarlah kita, tidak ada milik kita, semua Allah punya,
jika Allah ingin tarik ia daripada kita..bila-bila masa..
sudah tercatat di luh mahfuz, kapan ia bukan lagi milik kita..

Selasa, 13 Ogos 2013

Tokoh-tokoh Utama Gerakan Islah: Riwayat Hidup dan Pemikiran

jamaluddin al-afghani

Sayyid Jamaluddin al-Afghani: Pembangkit Orang Timur


Sayyid Jamaluddin al-Afghani atau nama sebenarnya Sayyid Jamaluddin Bin Safdar al-Afghani merupakan anak seorng pegawai tentera yang dilahirkan di sebuah kampung bernama Asadabad pada tahun 1254 H bersamaan 1838 M. Beliau digelar ‘sayyid’ kerana salasilah keturunan beliau bersambung dengan Saidina Ali Bin Abi Thalib dan Rasulullah SAW. Keturunan beliau juga bersambung dengan Imam at-Tirmidzi, seorang ulama hadis yang terkenal.

Beliau telah memperoleh pendidikan awal di Afghanistan dan juga Iran. Pada usia 18 tahun, beliau sudahpun mahir dalam ilmu Islami, falsafah dan sains. Semasa di India, beliau mempelajari ilmu Barat seperti sains fizikal dan matematik. Berikutnya, beliau telah terlibat dalam satu perang saudara di Afghanistan iaitu menentang Amir Shir Ali yang didukung oleh British Pada 1869 M, beliau terpaksa keluar dari Afghanistan setelah Shir Ali memperoleh kuasa. Namun sejak itulah bermulanya kehidupan al-Afghani sebagai seorang penentang penjajahan Barat.

Setelah meninggalkan Afghanistan, al-Afghani telah mengembara ke serata tempat dalam rangka mencari seorang ketua Negara Islam yang komited terhadap perpaduan umat Islam sejagat bagi menghadapi penjajahan Barat dengan benar-benar berkesan. Untuk tujuan inilah beliau telah mengembara dan menjelajah antara lainnya ke India, Mesir, Iran, Istanbul, Mekah, Madinah, Paris, London, dan St. Petersburg. Namun, impian beliau tidak berhasil disebabkan para pemimpin Islam dewasa itu lebih bersikap kuku besi dan dalam banyak perkara membelakangkan syariat.

Walau bagaimanapun, kesan daripada perjuangannya itu, khususnya berkaitan idea-idea kerajaan berpelembagaan, kemerdekaan daripada penjajahan asing, membina tradisi keilmuwan Islam dengan meminjam sains dan teknologi Barat, telah kelihatan dengan lebih jelas dan meluas di Mesir.Beliau juga merupakan perintis kepada penerbitan akhbar al-Urwat al-Uthqa yang menjadi antara medium utama menyebarkan idea islah beliau. Beliau cuba mengembalikan keyakinan umat Islam tentang keupayaan mereka menentang penjajah. Antara bait-bait dalam pidato jihadnya ialah:


“seandainya jumlah kamu (umat Islam) yang beratus-ratus juta ini ditakdirkan menjadi lalat dan nyamuk sekalipun nescaya kamu akan dapat memekakkan telinga orang Inggeris (penjajah) dengan suara kamu. Seandainya kamu ditaqdirkan menjadi labi-labi atau penyu sekalipun, lalu kamu berenang ke Tanah Inggeris, bilangan kamu yang seramai ini akan dapat mengepung dan menenggelamkan Tanah Inggeris, dan kamu akan pulang dengan kemerdekaan..”


Kempen-kempen yang telah dijalankan oleh al-Afghani dengan begitu bersemangat telah menimbulkan perasaan anti-British yang meluap-luap dalam kalangan rakyat Mesir sehingga menjadi antara penyebab tercetusnya Pemberontakan Urabi pada 1881 M sehingga 1882 M. bukan sahaja di Mesir, malah di serata dunia Islam menerima pengaruh tokoh ini sehingga Rashid Ridha meggelar beliau sebagai “Pembangkit Orang Timur”. Al-Afghani meninggal dunia pada tahun 1897 M. 
Syeikh Muhammad Abduh : Menjejaki Perjuangan Murabbi.

Setelah kematian al-Afghani, Muhammad Abduh, murid al-Afghani yang paling kanan, telah memperkembang idea-idea gurunya tentang dinamisme Islam dan perlunya umat Islam kembali bersatu dalam rangka memulihkan kegemilangan mereka, meskipun Muhammad Abduh mengambil jalan yang berbeza dengan gurunya. Muhammad Abduh cenderung melihat soal pendidikan sebagai kunci kejayaan islah dan bukannya kekuatan politik. Oleh itu, Abduh menumpukan program islahnya melalui reformasi pendidikan.

Muhammad Abduh dilahirkan di Mahallat Nasr, sebuah perkampungan kecil di Mesir pada 1849 M. beliau telah menunjukkan sikap kurang senang beliau terhadap system pendidikan tradisional sejak kecil lagi dan sikapnya ini telah menjejaskan pembelajarannya di Universiti al-Azhar.Abduh juga pernah menerima didikan daripada bapa saudaranya, Syaikh Darwish Khadr yang merupakan sufi Tarekat Shadziliyah. Seterusnya, bermulalah fasa awal modernism dan aktivisme dalam hidup beliau. Beliau mula meluaskan ilmu pegetahuannya di bawah bimbingan Sayyid Jamaluddin al-Afghani. Abduh mempelajari falsafah, teologi, undang-undang dan tasawuf. Beliau menulis pengenalan kepada Risalah al-Waridat fi Sir al-Tajalliyat (berkaitan sufisme) pada 1872 M dan komentar kepada Sharh al-Dawwani li al-Aqaid al-‘Adudiyah pada 1875.

Muhammad 'Abduh


Sebagai lapangan perjuangannya, Abduh telah memilih bidang pendidikan untuk membangunkan kembali umat Islam yang telah lesu akibat dicengkam kejahilan, kezaliman pihak berkuasa dan dibelenggu tahyul, khurafat dan taqlid buta.

Sewaktu al-Afghani diusir dari Mesir pada tahun 1879 M, Abduh dituduh berkomplot bagi menjatuhkan kerajaan dan dibuang daerah ke Kaherah. Pada 1882 M, beliau ditangkap dan dibuang negeri kerana penglibatannya dalam Revolusi Urabi. Beliau bersama-sama gurunya, al-Afghani berada di Paris pada tahun 1884 M dan di sinilah beliau dan gurunya sama-sama mengusahakan penerbitan akhbar al-Urwat al-Uthqa yang gemanya menjangkau hampir ke segenap pelosok dunia.

Mengenai aspek pendidikan yang menjadi fokus beliau, pemikirannya mencakupi antara lain penolakan terhadap taklid dan fanatik mazhab serta terhadap kitab-kitab yang bercorak demikian, reformasi al-Azhar, dan menghidupkan kembali buku-buku berkenaan intelektualism Islam dan sejarah umatnya.Beliau juga menekankan tentang integrasi ilmu di mana beliau menyarankan supaya umat Islam mempelajari ilmu-ilmu Fardu Ain dan Fardu Kifayah termasuk “ilmu-ilmu Barat” seperti sains dan teknologi untuk membina umat yang mempunyai daya fikir yang tinggi. Saranannya diterima dan beberapa perobahan berlaku dalam sukatan mata pelajaran di Universiti al-Azhar.

Menurut Fadhlullah Jamil, pilihan Abduh untuk melakukan reformasi dan islah dalam pendidikan adalah pilihan yang tepat, walau bagaimanapun, perubahan yang diusahakannya itu tetap mengandungi kepincangan kerana sebahagian daripadanya dipinjam daripada kebudayaan Barat tanpa penapisan. Manakala Abul Hassan Ali al-Nadwi pernah mengkritik reformasi yang cuba dilakukan Abduh dalam bidang pendidikan. 
Katanya, “sungguhpun Abduh sangat berjasa dalam usaha membela Islam, memperbaiki system pendidikan dan berusaha mendekatkan generasi baru kepada agama, tetapi dia adalah penganjur kepada modernisasi yang mengajak untuk menerapkan Islam dalam kehidupan abad ke-20 dengan penilaiannya yang tinggi terhadap nilai-nilai Barat, serta cuba menyesuaikannya dengan Islam dan ingin menafsirkan Fiqh Islam dan hokum syarak menurut tafsiran yang ‘sesuai’ dengan tamadun moden, sepertimana perjuanagn Sayid Ahmad Khan di India.”

Berdasarkan tulisan-tulisan beliau, dapat disimpulkan bahawa beliau sememangnya menumpukan program islahnya melalui reformasi ilmu pengetahuan dan terdapat empat aspek penting yang utama dalam reformasi tersebut iaitu: 
(1) penyucian Islam daripada semua amalan dan pengaruh yang mencemarkannya; 
(2) pembaharuan pendidikan tinggi; 
(3) perumusan semula doktrin Islam menurut pemikiran moden; 
(4) melindungi Islam daripada pelbagai pengaruh Eropah dan serangan Kristian.
Muhammad Abduh menghembuskan nafas terakhir beliau di Iskandariyah, Mesir pada tahun 1905 M.